PETALING JAYA – Seramai lebih 200 panel penilai dari sektor akademia, industri dan badan profesional seluruh negara menyertai Sesi Libat Urus Engineering Accreditation Council (EAC) 2025 di Putrajaya, semalam.
Program anjuran EAC di bawah Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) itu bertujuan memperkukuh keunggulan kejuruteraan negara agar setanding di peringkat antarabangsa.
Sesi tahunan ini memberi tumpuan kepada penambahbaikan standard akreditasi, termasuk pengintegrasian Matlamat Pembangunan Mampan dan peningkatan atribut graduan sejajar amalan global.
Program turut menyaksikan pelancaran Buku Outcome-Based Education (OBE) yang merangkum sedekad pelaksanaan OBE di Malaysia serta kejayaannya mentransformasikan pendidikan kejuruteraan negara.
Majlis disempurnakan oleh Pengerusi EAC, Datuk Indera Ir. Dr. Ahmad Sabirin Arshad, yang ketika berucap, menekankan kepentingan kolaborasi strategik antara penilai dan institusi pendidikan kejuruteraan.
“Kekuatan sistem akreditasi kita terletak pada dedikasi bersama para penilai dan institusi dalam menegakkan kecemerlangan pendidikan kejuruteraan,” katanya.
Sehingga Oktober 2025, LJM yang juga agensi di bawah Kementerian Kerja Raya telah merekodkan lebih 260,000 ahli berdaftar sekali gus mencerminkan kekuatan serta kredibiliti sektor kejuruteraan negara. – KOSMO! ONLINE














