NEW DELHI – Seorang pemilik restoran mati ditembak oleh seorang pelanggannya selepas mangsa didakwa menghidangkan ayam dalam makanan beriani berasaskan sayur (vegetarian), lapor portal berita Must Share News.
Kejadian berlaku di Restoran Chaupati di bandar Rachi, negeri Jharkhand pada 19 Oktober lalu.
Situasi itu tercetus selepas tiga pelanggan memberitahu mangsa, Vijay Naag bahawa beriani sayur yang dipesan mereka mengandungi ayam.
Pertelingkahan sengit berlaku antara kumpulan itu dengan Vijay, demikian menurut beberapa saksi.
Salah seorang pelanggan tiba-tiba mengeluarkan pistol lalu melepaskan dua das tembakan ke arah Vijay sebelum melarikan diri.
Bunyi tembakan yang kuat menyebabkan orang ramai bergegas ke tempat kejadian sebelum menemui Vijay terbaring di lantai.
Mangsa dibawa ke hospital berhampiran tetapi disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.
Polis mengenal pasti seorang suspek dikenali sebagai Abhishek. Mereka sedang menyemak rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) dari kedai berhampiran untuk mengesan penyerang yang lain. – AGENSI














