LONDON – Pengendali Arsenal, Mikel Arteta gembira dengan impak yang dipamerkan oleh Max Dowman selepas memecahkan rekod menjadi pemain termuda berada dalam kesebelasan utama pasukan itu ketika menang 2-0 ke atas Brighton awal pagi semalam.
Pada aksi pusingan keempat Piala Liga Inggeris (EFL) itu, The Gunners berjaya lolos ke peringkat suku akhir hasil jaringan yang dilakukan oleh Ethan Nwaneri dan Bukayo Saka.
Dowman yang berusia 16 telah memecahkan rekod yang sebelum ini disandang oleh penjaga gol, Jack Porter pada tahun lalu.
Menurut Arteta, perancang tengah perlu terus merendah diri dan tidak terbuai dengan pujian meskipun berjaya pamer prestasi memuaskan sepanjang 70 minit perlawanan sebelum diganti dengan Saka.
“Saya cukup teruja melihat prestasi Dowman kerana corak permainannya cukup sesuai dengan taktikal kami. Dia memiliki skil yang luar biasa untuk beraksi di peringkat tertinggi walaupun belum mencecah usia 16 tahun,” katanya.
Sementara itu, Arteta turut memuji benteng kebal yang memastikan melakar rekod enam perlawanan tanpa dibolosi selain meraih lapan kemenangan berturut-turut.
“Secara jujur, saya rasa kita agak bergelut pada babak pertama dengan pasukan lawan memiliki beberapa peluang terhidang tetapi pada separuh masa kedua, segalanya berbeza dan lebih konsisten untuk mara ke peringkat seterusnya,” katanya. – AGENSI














