KUALA PERLIS – Dua kanak-kanak lelaki masing-masing berusia lapan dan 11 tahun ditemukan lemas ketika mandi di sebuah tali air berhampiran Kampung Padang Besar Selatan di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd. Yusop berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada pukul 4.40 petang daripada seorang anggota bertugas di Balai Polis Kuala Perlis yang memaklumkan dua kanak-kanak disyaki lemas telah dibawa ke Klinik Kesihatan Kuala Perlis.
“Seorang mangsa disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Kuala Perlis manakala seorang lagi dirujuk ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar sebelum disahkan meninggal dunia di Zon Merah,” katanya di sini hari ini.
Menurut Yusharifuddin, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 3.30 petang ketika kedua-dua mangsa iaitu Iskandar Zulkarnain, 8, dan Muhammad Haikal Hakim, 11, dipercayai bermain air di tali air berhampiran padang kampung berkenaan.
“Ketika kejadian, salah seorang mangsa dilihat berenang ke tengah tali air sedalam kira-kira dua meter sebelum mula tenggelam dipercayai keletihan.
“Rakan-rakannya yang melihat kejadian cuba membantu namun gagal disebabkan kedalaman air yang tinggi sebelum mendapatkan bantuan orang kampung untuk menarik keluar kedua-dua mangsa,” ujarnya.
Beliau berkata, penduduk yang membantu telah berjaya menemui kedua-dua kanak-kanak itu dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum mereka dibawa ke klinik berhampiran.
“Hasil siasatan juga mendapati tali air itu baru dikorek bagi melancarkan aliran air dan terletak berhampiran kawasan laluan penduduk kampung,” jelasnya.- KOSMO! ONLINE.
 
								
 
								 
											













 
														
