KUALA LUMPUR – Malaysia hari ini menyerahkan Deklarasi Bersama Kuala Lumpur kepada Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn, sebagai simbol komitmen berterusan rantau ini terhadap keamanan, kestabilan dan kemakmuran bersama.
Penyerahan itu disempurnakan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin selepas berakhirnya Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) ke-19 di ibu negara hari ini.
Mohamed Khaled berkata, deklarasi tersebut menjadi bukti nyata kesungguhan negara anggota dalam memperkukuh perpaduan serantau serta memantapkan pelan tindakan ke arah ASEAN yang aman, berdaya tahan dan berpandangan jauh.
Katanya, dokumen itu mencerminkan semangat dan keazaman bersama negara anggota untuk memastikan ASEAN kekal sebagai rantau yang stabil, berdaya tahan serta menjadi contoh kepada dunia dalam menangani cabaran keselamatan serantau.
“Deklarasi ini bukan sekadar hasil mesyuarat, tetapi simbol kepada tekad kita membina masa depan ASEAN yang bersatu dan makmur.
“Kekuatan ASEAN bukan terletak pada kuasa atau penguasaan, tetapi pada semangat kerjasama dan dialog,” katanya ketika menyampaikan ucapan penutup ADMM-19 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Penyerahan rasmi Deklarasi Bersama Kuala Lumpur itu menandakan komitmen kukuh Malaysia dalam memperkukuh peranan ASEAN sebagai blok serantau yang bersatu, stabil dan makmur menjelang tahun 2045. – KOSMO! ONLINE
 
								
 
								 
											












 
														
