KUALA LUMPUR – China menyokong sokongan usaha memuktamadkan Kod Tatakelakuan (COC) di Laut China Selatan bagi memastikan keamanan, kestabilan dan kepercayaan antara negara di rantau ini.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara itu disampaikan Menteri Pertahanan China, Laksamana Dong Jun semasa sesi makan tengah hari bersama beliau di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) hari ini.
Bagaimanapun katanya, segala kemajuan bergantung kepada perbincangan kepada pihak yang terlibat
“Menteri Pertahanan China dengan jelas menyatakan bahawa China menyokong pembentukan Kod Tatakelakuan di Laut China Selatan (Code of Conduct). Kami amat menantikan perkembangan tersebut.
“Segala kemajuan bergantung kepada perbincangan antara pihak-pihak yang terlibat, namun China telah menegaskan pendiriannya untuk mendukung keperluan mewujudkan Kod Tatakelakuan tersebut, “katanya dalam sidang akhbar penutup ADMM ke- 19 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Difahamkan, rundingan mengenai COC Laut China Selatan di kawasan berkenaan setakat masih berjalan sehingga kini dan belum dimuktamadkan.
Dalam pada itu Mohamed Khaled berkata, proses untuk memuktamadkan COC Laut China Selatan diketuai Kementerian Luar dengan penglibatan secara berterusan melibatkan negara anggota ASEAN dan China.
“Ia bergantung pada perbincangan antara negara ASEAN dan China.Tetapi China mendukung positif keperluan COC Laut China Selatan,” jelasnya.
Sementara Mohamed Khaled berkata walaupun isu Laut China Selatan tidak dibincangkan secara langsung dalam mesyuarat dua hala, ASEAN secara konsisten menekankan kepentingan menghormati undang-undang antarabangsa bagi mengelakkan pertikaian daripada berlarutan.
“Untuk menangani sebarang ancaman atau cabaran dengan berkesan, kita mesti bertindak sebagai satu entiti. Hanya dengan bersatu, ASEAN akan dihormati dan diiktiraf sebagai sebuah kumpulan yang mempunyai matlamat bersama,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN turut menegaskan dalam dialog tidak rasmi ASEAN-China mengenai kepentingan mengaitkan kemakmuran dengan keamanan dan keselamatan.
“ASEAN percaya bahawa Asia Tenggara yang selamat akan memberi manfaat kepada semua pihak, termasuk China, kerana rantau ini merupakan hab perdagangan dan rangkaian global. Oleh itu, komitmen terhadap kemakmuran mesti berasaskan keamanan dan kestabilan,” jelasnya.
Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar, ketika ditemui berkata Malaysia terus memantau kehadiran kapal asing di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) negara.
“Memang sentiasa ada kapal di ZEE. Kita menguruskan keadaan ini sama ada melalui saluran diplomatik atau tindakan tersendiri. Setakat ini, kita berjaya menanganinya dengan berkesan, jadi tiada keperluan untuk terlalu bimbang,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE
 
								
 
								 
											













 
														
