PETALING JAYA – Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS), Scott Bessent sekali lagi menzahirkan penghargaan kepada Malaysia di atas layanan baik yang diberikan kepada Presiden Donald Trump dan delegasinya sewaktu berada di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ucapan itu disampaikan ketika beliau mengadakan pertemuan dengannya di Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi Mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), di Gyeongju, Republik Korea, hari ini.
“Saya sekali lagi sampaikan ucapan terima kasih kepada Presiden Trump atas kunjungan yang mencerminkan iltizam tinggi kepimpinan AS dalam memperkukuh hubungan dua hala yang konstruktif, saling menghormati dan membawa manfaat bersama.
“Saya menghargai peranan serta sumbangan beliau dalam memperkukuh kerjasama ekonomi global, di samping usaha memperluas jaringan pelaburan, perdagangan dan keamanan yang inklusif berasaskan dialog, keadilan serta saling memahami,” katanya di media sosial, hari ini.
Beliau berkata, pertemuan itu pada hari ini secara tidak langsung meneruskan momentum hubungan erat yang telah terjalin semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Jelas beliau, ia memberi ruang untuk keduanya membincangkan pelbagai aspek hubungan perdagangan serta kewangan antara Malaysia dan AS.
“Tumpuan turut diberikan kepada usaha memperkukuh pertalian ekonomi dua hala, termasuk komitmen bersama antara Perbendaharaan AS dan Bank Negara Malaysia dalam memastikan dasar pertukaran mata wang yang berdaya tahan, kestabilan pasaran kewangan, serta tadbir urus yang telus dan berintegriti.
“Malaysia kekal komited memperkukuh kerjasama strategik dengan Amerika Syarikat atas landasan prinsip keterbukaan, keadilan dan hormat-menghormati, demi menjamin kestabilan, kemakmuran dan keamanan serantau serta sejagat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
 
								
 
								 
											













 
														
