PETALING JAYA – Seorang pekerja wanita berdepan detik cemas apabila beg miliknya dicuri ketika berada di tempat kerja di pasar raya Lotus’s Seri Alam, Johor Bahru, kelmarin.
Menerusi perkongsian di TikTok oleh pengguna @jeontaey4a_, kelihatan seorang lelaki menarik beg milik wanita tersebut yang disangkakan mengandungi barangan berharga, namun ia hanyalah beg telekung solat.
Menurut mangsa, hanya telekung tersebut berjaya dilarikan, namun bernasib baik apabila telefon bimbitnya terjatuh ketika beg itu ditarik.
Tambahnya, lelaki tersebut berpusing mengelilingi lot kedainya sebanyak dua kali sebelum bertindak mencuri beg telekungnya.
“Ujian untuk saya hari ini. Berlaku kes kecurian di tempat kerja saya, saya baru balik solat maghrib dan letak beg sekejap di belakang sebab nak betulkan gelang.
“Bila tengok semula rakaman televisyen litar tertutup (CCTV), lelaki ni rupanya sudah pusing dua kali untuk pastikan keadaan selamat atau tidak. Telefon saya terjatuh masa pencuri tu kelam kabut nak lari. Saya cuba kejar dia, tetapi hilang tak nampak bayang,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Mangsa turut berharap agar kejadian ini dijadikan pengajaran serta peringatan kepada orang ramai agar lebih berhati-hati.
Perkongsian tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial, dengan ada yang meluahkan rasa bimbang manakala sebahagian lain turut bergurau mengenai kejadian itu.
“Alhamdulillah dapat lah dia solat guna telekung tu,” komen @hunnieyusof
“Bayangkan kena laporan polis masuk penjara sebab curi telekung,” kata Nazz.
“Saya nampak telefon tu jatuh. Allah jaga awak sebab awak jaga solat,” komen Ros Emida. – KOSMO! ONLINE
@jeontaey4a_ Ujian utk saya harini, berlaku kes kecurian di tempat kerja saya, saya baru balik solat maghrib, letak beg sekejap kat belakang sebab nak betulkan gelang. Bila tengok cctv balik, lelaki ni rupanya dah round 2 kali utk tengok line clear ke tak. Alhamdulillah Allah tu ada, Allah tolong saya, hp saya terjatuh masa pencuri tu kelam kabut nak lari. Saya cuba kejar dia, tapi hilang tak nampak bayang. Saya patah balik ke kedai dalam keadaan menggigil, dan saya nampak hp saya yg jatuh kat tepi kedai. Jadi yg dia dapat hanyalah beg telekung sahaja, walau macam manapun tetap kena Viralkan sebab taknak terjadi kat orang lain juga. Allahu akhbar umur muda lagi tak cacat, tapi sanggup mencuri. Semoga selepas dapat telekung tu, bawa-bawalah insaf. SILA SHARE & REPOST! BIAR FAMILY DIA JUMPA VIDEO DIA BUAT KERJA BODOH NI. 📍Lokasi di Lotus Seri Alam di Johor. #fyp #foryoupage #foryou #johorbahru #keskecurian ♬ original sound – 🇵🇸 ياي 𐙚














