WASHINGTON – Presiden Donald Trump kembali ke Washington selepas bertemu pemimpin China, Xi Jinping hari ini dalam rundingan yang memberikan peluang kepada pemimpin dua ekonomi terbesar dunia itu untuk menstabilkan hubungan selepas berbulan-bulan kekecohan mengenai isu perdagangan.
Washington dan Beijing ‘bersetuju dalam banyak perkara’, kata Trump selepas pertemuan yang berlangsung lebih 100 minit, dengan kedua-dua pemimpin muncul di pintu hadapan dan bercakap ringkas.
Tidak lama selepas itu, mereka beredar dari tempat pertemuan, dan Trump kembali menaiki pesawat rasmi Air Force One untuk pulang ke Amerika Syarikat (AS).
Ketika wartawan menunggu untuk mengetahui hasil dan kesimpulan pertemuan mereka, Trump segera mengumumkan bahawa AS boleh menandatangani perjanjian perdagangan dengan China ‘tidak lama lagi.’
Manakala di dalam Air Force One, Trump memberikan lebih banyak butiran dengan memberitahu wartawan bahawa pertemuan tersebut hebat dan Jinping ialah seorang pemimpin yang hebat.
“Washington akan segera menurunkan tarif ke atas semua barangan China yang sebelum ini dilaksanakan sebagai tindak balas terhadap aliran bahan kimia yang digunakan untuk menghasilkan dadah fentanil ke Amerika Syarikat,” katanya.
Trump berkata, kadar tarif ke atas import barangan China akan diturunkan kepada 47 peratus dengan China akan mula membeli kacang soya AS secara pukal, seperti yang diumumkan sebelum ini
Beijing berdepan tarif baharu pada tahun ini yang keseluruhan kenaikan berjumlah 30 peratus di mana 20 peratus dikaitkan dengan apa yang Washington dakwa sebagai peranan China dalam pengeluaran fentanil.
Bagaimanapun, kadar tarif sebelum ini menjadi tidak menentu. Pada April lalu, Trump mengumumkan rancangan untuk menaikkan kadar tarif ke atas barangan China kepada 145 peratus namun, membatalkannya apabila pasaran antarabangsa terjejas. – AGENSI














