fbpx
Zamri (depan, dua kanan) menghadiri Sesi Town Hall Antibuli di Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara di Jitra, hari ini.

Tribunal Antibuli fokus pemulihan mangsa, pelaku

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JITRA – Rang Undang-Undang (RUU) Tribunal Antibuli yang akan dibentangkan di Parlimen pada 1 Disember depan memberi penekanan kepada pendekatan pemulihan berbanding hukuman semata-mata terhadap pelaku.

Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Zamri Misman berkata, RUU itu akan menitikberatkan aspek pemulihan bukan sahaja kepada mangsa, tetapi juga kepada pembuli itu sendiri.

“Ia lebih kepada perkara di bawah sivil yang mana terdapat dua peringkat iaitu pertama, jawatankuasa antibuli yang berfungsi sebagai jawatankuasa disiplin di peringkat sekolah. Sementara itu, sekiranya tiada jawatankuasa antibuli atau kejadian berlaku di luar sekolah seperti di kawasan perumahan, aduan boleh terus dikemukakan kepada Tribunal Antibuli yang diwujudkan melalui akta ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Sesi Town Hall Antibuli di Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara di sini, hari ini.

Menurut Zamri, cadangan mewujudkan tribunal tersebut turut mengambil kira keperluan mengendalikan kes-kes yang berlaku di sekolah swasta.

“Jika ada ibu bapa atau pihak-pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan jawatankuasa antibuli peringkat sekolah, mereka juga boleh mengemukakan aduan kepada tribunal berkenaan,” ujarnya.

Katanya, pelaksanaan tribunal itu masih belum dimuktamadkan namun dijangka akan diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Tambahnya, pihaknya menerima maklum balas positif daripada semua pihak berhubung cadangan RUU Tribunal Antibuli dan rata-rata mahu pelaksanaannya disegerakan.

Dalam pada itu, Zamri berkata, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) kini sedang mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi menyediakan platform aduan yang lebih mesra kanak-kanak. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI