KUALA LUMPUR – Beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani terus dibelenggu prestasi tidak menentu apabila tersingkir daripada Kejohanan Badminton Terbuka Hylo di Jerman.
Pada aksi pusingan kedua yang berlangsung di Saarlandhalle, Saarbrucken sebentar tadi, bekas gandingan No.1 dunia itu tewas 9-21, 19-21 kepada beregu ketiga Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard.
Turun sebagai pilihan kedua kejohanan, Sze Fei-Izzuddin dilihat gagal menampilkan corak permainan sebenar apabila banyak melakukan kesilapan-kesilapan mudah yang seterusnya memberi mata percuma kepada lawan.
Ia dapat dilihat dengan jelas sepanjang perlawanan, lebih-lebih lagi di set pertama apabila pukulan-pukulan yang dilakukan banyak tersangkut di jaring selain keluar dari gelanggang permainan.
Meskipun cuba bangkit di set kedua untuk mengheret perlawanan ke set penentuan, namun hasrat mereka tidak kesampaian apabila Sze Fei-Izzuddin terpaksa akur tewas dalam tempoh 31 minit.
Sebagai rekod, ini merupakan kekalahan ketiga di pusingan awal buat beregu No.4 dunia itu dalam lima kejohanan terakhir selepas turut mengalaminya di Terbuka Denmark dan Terbuka Hong Kong. – KOSMO! ONLINE














