PETALING JAYA – Superior Property Development Sdn Bhd (SPD) bercadang untuk mengukuhkan kedudukannya dalam industri hartanah dengan beberapa projek terbaharu di Johor.
Antara yang sedang dalam perancangan adalah Taman Indah Jaya di Ayer Hitam, yang melibatkan gabungan rumah teres dua tingkat, rumah separa berkembar yang direka untuk kehidupan keluarga dan unit Rumah Mampu Biaya Johor (RMBJ) yang berpatutan.
Ketua Pegawai Operasinya, Terry Lim Teck Lee berkata, syarikat juga sedang bersedia untuk melancarkan pembangunan pangsapuri servis bertingkat tinggi pertamanya di Gelang Patah, menandakan penyertaannya dalam projek gaya hidup bandar yang menggabungkan kemudahan, inovasi dan keanggunan seni bina.
Sebagai sebahagian daripada pelan induk, SPD akan membangunkan hab komersial bersebelahan dengan pangsapuri servis, mewujudkan komuniti bersepadu yang menyeluruh dengan menggabungkan kehidupan kediaman, keceriaan komersial dan kemudahan gaya hidup, meningkatkan kebolehdiaman, potensi pertumbuhan masa depan untuk penduduk serta kawasan sekitarnya, katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan bersempena kejayaan syarikat diiktiraf sebagai salah satu pemaju terkemuka Malaysia pada majlis penyampaian Anugerah PropertyGuru Asia Malaysia ke-12 dengan kerjasama iProperty di sini baru-baru ini.
Ini adalah kali pertama syarikat mendapat pengiktirafan peringkat kebangsaan pertama sejak syarikat ditubuhkan pada tahun 2022.
Seiring dengan perkembangan SPD kekal teguh dalam mencapai visi jenamanya iaitu Membina Masa Depan yang Lebih Baik, memupuk pembangunan yang bukan sahaja meningkatkan taraf hidup tetapi juga menyumbang secara positif kepada landskap bandar Johor yang sedang berkembang.
SPD telah berkembang daripada kontraktor utama yang dipercayai kepada syarikat pembangunan yang dinamik yang mana ia dibina dengan asas faktor integriti, kerendahan hati, solidariti dan inovasi.
“kami sedang membentuk semula landskap pembinaan dan pembangunan, kami juga komited untuk mewujudkan komuniti yang meriah dan persekitaran yang mampan, SPD sedang membuka jalan untuk masa depan yang lebih cerah, ujarnya.
Selain itu, SPD juga turut meraikan semangat komuniti pada acara Festival Pertengahan Musim Luruh yang berlangsung awal bulan ini yang mana ia juga untuk meraikan pelancaran rasmi pertama projek Superior Residences @ Taman Mekar Emas yang melibatkan kawasan seluas 5.9 hektar di Ayer Hitam.
Projek ini melibatkan pembangunan 168 unit pelbagai rumah daripada jenis rumah teres setingkat hingga kediaman dua tingkat yang luas. -KOSMO! ONLINE














