HULU TERENGGANU – Seramai satu juta pelancong disasar bakal mengunjungi Tasik Kenyir di sini pada tahun hadapan sempena penganjuran Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) sebagai agensi pengendali telah merangka dan melaksana pelbagai program bagi mencapai sasaran tersebut.
“Salah satunya penganjuran Festival Kenyir Geopark yang kembali dianjurkan selepas kali terakhir diadakan pada tahun 2019.
“Festival selama tiga hari bermula hari ini (tersebut) dijangka menarik kehadiran 60,000 pengunjung dengan janaan jualan kira-kira RM1.2 juta,” katanya selepas merasmikan
Festival Kenyir Geopark di sini hari ini.
Rubiah berkata, festival melibatkan 112 usahawan desa sekitar itu mahu mempromosikan lagi Tasik Kenyir yang kini berstatus Taman Geo Kebangsaan.
Beliau berkata, kementeriannya menerusi Ketengah komited untuk mengembalikan semula kegemilangan Tasik Kenyir sebagai produk ekopelancongan seperti sebelum penularan pandemik Covid-19 pada tahun 2020.
“Sebelum ini, Tasik Kenyir pernah pernah berjaya menarik purata 800,000 pengunjung setahun namun ia merosot teruk ekoran pandemik Covid-19.
“Kehadiran pengunjung dilihat mula memulih sedikit demi sedikit pada tahun 2023. Setakat ini, seramai kira-kira 320,000 orang melancong di Tasik Kenyir sejak awal tahun ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE














