MELAKA – Salah seorang daripada tiga bayi kembar perempuan pasangan Mejar Ir. Ts. Mohd Fikry Amri Abdul Halim, 40, dan Sabrina Hakiem Zaini, 40, dilaporkan dalam keadaan membimbangkan selepas dilahirkan pramatang pada usia 31 minggu di Hospital Melaka.
Menurutnya, ketiga-tiga bayi berkenaan kini berada di bawah pengawasan doktor, namun seorang daripada mereka, Mariam Al Kawla ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) untuk pemantauan lebih teliti.
Ujarnya, dua lagi Mariam Al Lubna dan Al Arwaa berada di wad Special Care Nursery (SCN) atau wad Rawatan Khas Bayi dan menunjukkan perkembangan positif selepas kelahiran caesarean berikutan risiko kandungan kembar tiga.
Mohd. Fikry berkata, keputusan untuk melahirkan lebih awal dibuat selepas pakar mengenal pasti ruang rahim semakin padat, sekali gus boleh memberi kesan kepada ibu dan bayi jika kandungan diteruskan sehingga tempoh matang.
“Bayi kami dilahirkan pada usia 31 minggu kerana keadaan kandungan kembar tiga yang menyebabkan ruang rahim menjadi terlalu padat dan berisiko kepada ibu serta anak-anak. Alhamdulillah, isteri saya selamat dan dua daripada bayi kami kini menunjukkan perkembangan baik.
“Namun, seorang lagi, Al Kawla masih dalam pemantauan rapi, bergantung kepada ubat yang doktor bagi,” katanya.
Tambahnya, berat Al Kawla adalah yang paling ringan berbanding kakak dan adiknya, iaitu hanya 1.78 kilogram.
“Sebagai ibu bapa, sudah tentu hati kami risau tetapi emosi isteri saya stabil dan kami reda serta percaya kepada ketentuan Allah.
“Kami berterima kasih atas sokongan dan doa rakyat Malaysia, dan memohon agar semua terus mendoakan kesemua anak kami supaya membesar dengan sihat dan kuat,” ujarnya lagi.
Pasangan itu sebelum ini mendapat perhatian negara apabila anak sulung mereka, Muhammad Al Fateh Amri yang berusia lapan bulan maut selepas dihantar ke sebuah taska di Kelemak. – KOSMO! ONLINE














