KAJANG – Mahkamah Tinggi Shah Alam di sini diberitahu, representasi yang dikemukakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) Nasiruddin Mohd. Ali dan 21 lagi individu berhubung pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang diterima Jabatan Peguam Negara (AGC).
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Shafiq Hashim pada sebutan semula kes di hadapan Hakim Datuk Seri Latifah Mohd. Tahar dalam prosiding di Mahkamah Kompleks Penjara Kajang di sini hari ini.
“Sukacita dimaklumkan bahawa permohonan (representasi) telah diterima. Justeru pihak pendakwaan akan menawarkan pertuduhan pilihan dibawah Seksyen 43, Akta Pertubuhan yang mana pertuduhan baharu itu telah dimaklumkan dan dibincang bersama,” kata Shafiq.
Bagaimanapun semasa prosiding, Shafiq tidak mendedahkan secara terperinci mengenai pertuduhan pilihan baharu berkenaan.
Mendengar perkara itu, peguam Datuk Rosli Kamaruddin yang mewakili kesemua tertuduh, mengesahkan pihak pembelaan dimaklumkan mengenai perkembangan representasi berkenaan selain berterima kasih kepada pihak AGC yang menawarkan pertuduhan pilihan.
Selepas mendengar makluman kedua-dua pihak, Hakim Latipah kemudian menetapkan 7 November ini bagi sebutan semula kes dan pada tarikh itu pertuduhan pilihan yang ditawarkan akan dibacakan semula terhadap kesemua tertuduh.
Sementara itu, Rosli ketika ditemui selepas prosiding berkata, pihaknya menghantar representasi pada 26 Mei lalu.
“Dalam permohonan itu, kami mohon supaya AGC dapat mengkaji semula pertuduhan yang dihadapi mereka. Ini termasuk mencadangkan pertuduhan kepada seksyen dan hukuman yang lebih rendah. Pada masa sama, kami juga berbincang dengan kesemua tertuduh dan dimaklumkan mereka bersetuju akan menerima pertuduhan (pilihan) itu,” katanya.
Pada prosiding lalu, mahkamah menetapkan hari ini bagi bagi keputusan representasi kesemua tertuduh selepas pihak pendakwaan memaklumkan AGC memerlukan masa untuk meneliti representasi tersebut.
Ia apabila pihak pembelaan telah mengemukakan representasi untuk mengkaji semula pertuduhan termasuk seksyen yang memperuntukkan hukuman yang lebih rendah.
Nasiruddin serta 12 lagi pemohon tidak dibenarkan diikat jamin oleh Mahkamah Tinggi atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.
Kesemua 12 pemohon itu selain Nasiruddin ialah Hasnan Abd Hamid, 54, Mohammad Adib At-Tarmizi Asa’ari, 33, Mohd. Shukri Mohd. Noor, 54, Mokhtar Tajuddin, 61, Shuhaimi Mohamed, 57, Muhammad Afdaluddin Latif, 35, Mohamad Sayuti Omar, 36, Mohd. Fazil Md Jasin, 58, Mohd. Dhirar Fakhrur Razi, 35, Muhammad Zahid Azhar@Nadzri, 52, Abu Ubaidah Ahnad Shukri, 35, dan Muhammad Fajrul Islam Khalid, 29.
Dengan keputusan itu Nasiruddin dan 12 lelaki tersebut kekal dalam penjara hingga perbicaraan.
Sementara, sembilan tertuduh wanita termasuk isteri Nasiruddin didakwa atas pertuduhan sama dibenarkan diikat jamin.
Mereka ialah isteri CEO GISBH, Azura Md Yusof, 58, Asmat@Asmanira Muhammad Ramly ,45, Mahani Kasim, 55, Siti Hajar Ismail, 52, Khalilatul-Zalifah Mohammad Jamil, 28, Nurul Jannah Idris, 29, Nur Jannah Omar, 33, Siti Salmiah Ismail, 58 dan Hamimah Yakub, 73,.
Mengikut pertuduhan, mereka didapati menjadi ahli kumpulan jenayah terancang di sebuah tempat di Jalan Desa, di Bandar Country Homes, Rawang di sini antara Oktober 2020 hingga 11 September 2024.
Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang membawa penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi di sini dalam penghakimannya berkata 13 lelaki yang ditolak pernohonannya kerana mereka gagal memenuhi syarat yang dikategorikan yang termaktud seksyen 13 (2) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA) 2012 selain mahkamah mendapati kesihatan pemohon-pemohon terkawal dan boleh menjalani aktiviti harian serta berdikari. – KOSMO! ONLINE














