ISKANDAR PUTERI – Legoland Malaysia memperkenalkan tarikan terbaharu berkonsepkan ‘Ferrari Build & Race’ yang bakal memberikan pengalaman unik dan interaktif kepada pengunjung bermula 1 November ini.
Tarikan itu menampilkan kereta Ferrari bersaiz sebenar yang dibina menggunakan 421,652 keping kiub lego, mengambil masa lebih 1,300 jam untuk disiapkan oleh Master Model Builder.
Timbalan Presiden, Legoland Malaysia Resort, CS Lim berkata, tarikan eksklusif itu adalah yang pertama seumpamanya di Asia, menggabungkan dua ikon global iaitu Lego dan Ferrari. Menurutnya, adalah menjadi polisi Legoland menyediakan pengalaman menakjubkan dan berbeza, tahun ini, kami gabungkan imajinasi dan inovasi Lego bersama kreativiti serta kraftangan Ferrari bagi menghasilkan satu pengalaman yang amat menarik.
“Pengunjung dapat mengenali sejarah Ferrari serta melihat model Ferrari F50 yang dipamerkan, juga yang pertama dipertontonkan di dunia dalam bentuk Lego.
Apa yang menjadikan tarikan ini lebih unik ialah pengalaman pengunjung membina kereta Lego sendiri sebelum diuji di dua jenis litar iaitu litar fizikal untuk menguji kestabilan, kelajuan dan aerodinamik.
“Keduamya, litar digital iaitu lego yang dicipta pengunjung diimbas model kereta ke dalam trek litar digital yang direka menyerupai Pista di Fiorano, litar ujian Ferrari sebenar di Maranello, Itali,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Majlis Perlancaran Tarikan Baharu ‘Ferrari Build & Race’ di sini, hari ini.
Hadir merasmikan pelancaran ialah Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Lim berkata, pengunjung juga dapat merasai pengalaman menarik memandu kereta Ferrari F50 dalam bentuk lego selain dapat mendengar bunyi enjin seperti bunyi sebenar.
“Sebagai galakan, pengunjung yang menyertai perlumbaan bakal menerima ganjaran dan pengiktirafan atas kreativiti masing-masing.
“Untuk kanak-kanak kecil, turut disediakan Duplo Racetrack supaya semua peringkat umur boleh terlibat dalam pembinaan dan perlumbaan,”katanya.
Lim berkata, tarikan Ferrari ini kekal selamanya (permanent attraction) dan tiada bayaran tambahan dikenakan selain tiket masuk Legoland.
“Ini akan juga menjadi antara tarikan utama sempena Tahun Melawat Johor dan Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.
Legoland Malaysia yakin tarikan baharu itu mampu meningkatkan jumlah pelawat bukan sahaja dari dalam negara, malah dari seluruh Asia Tenggara.-KOSMO! ONLINE














