fbpx
Wong (kiri) dan Michael Chong (kanan) ketika sidang media di Wisma MCA, Ampang, Kuala Lumpur hari ini.

‘Sikapnya berubah selepas dapat kad pengenalan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Niat murni seorang lelaki membantu wanita muda yang tidak mempunyai keluarga dan kad pengenalan bertukar malang apabila dia menjadi mangsa penipuan dan ugutan pemberi pinjaman wang.

Wong Fook Ming, 55, yang merupakan mekanik dari Cheras, mendedahkan anak angkatnya, Nnie, 27, bukan sahaja memperdayanya, malah meninggalkan beban hutang berjumlah RM20,000 yang kini ditanggung dia sekeluarga.

Menurut Fook Ming, dia mengenali gadis itu sembilan tahun lalu ketika berusia 18 tahun dan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri. Disebabkan simpati, dia mengambil keputusan untuk mengambil Nnie sebagai anak angkat mengikut prosedur yang sah.

“Dia cakap tiada keluarga dan memerlukan bantuan. Saya kasihan dan membantu menguruskan pengambilan anak angkat. Tapi selepas mendapat kad pengenalan, sikapnya berubah dan mula buat hal pelik,” katanya pada sidang akhbar anjuran Ketua Unit Aduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong Ten Soo, di sini hari ini.

Katanya, selepas mendapat kad pengenalan, Je Nnie memujuknya supaya menjadi penjamin untuk pinjaman peribadi pada September lalu, namun dia menolak.

“Tidak lama selepas itu, saya dapat panggilan daripada 12 pemberi pinjaman wang yang menuntut hutang RM20,000. Ada yang ugut keluarga saya. Rupa-rupanya dia (Nnie) serahkan butiran peribadi kami kepada syarikat peminjam wang untuk dijadikan sebagai penjamin. Saya benar-benar tak tahu apa yang dia sudah buat,” jelasnya.

Tambahnya, bukan sahaja dia yang diganggu, malah adik iparnya, Ng Chong Wah, 45, turut menjadi mangsa apabila butiran peribadi disebarkan di media sosial dengan tuduhan palsu kononnya sebagai ‘scammer’.

Akibat tidak tahan diganggu, Fook Ming membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah pada 16 Oktober lalu bagi melindungi keluarganya selain memohon supaya nama mereka dibersihkan.

“Sekarang saya mahu putuskan hubungan dengan dia. Kami tidak sanggup lagi ditipu dan dibebani dengan hutang yang bukan kami buat,” katanya.

Sementara itu, Michael Chong berkata, wanita tersebut berjaya mendapat kad pengenalan dan taraf warganegara dalam tempoh lima tahun yang disifatkan ‘aneh’ memandangkan masih ramai pemohon belum dapat kerakyatan walaupun tinggal di Malaysia selama puluhan tahun.

“Ada yang 30 tahun tinggal di Malaysia, tetapi masih belum dapat kerakyatan. Saya tidak pernah dengar ada kes yang boleh dapat MyKad dan kewarganegaraan secepat itu. Selalunya ia akan mengambil masa lama, tapi dia boleh dapat dalam lima tahun,” katanya

Menurut beliau, setakat Oktober lalu, pihaknya menerima 337 kes penipuan membabitkan nilai RM3.3 bilion, termasuk 36 kes pinjaman wang tidak berlesen.

Michael Chong menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati ketika membantu individu tanpa latar belakang jelas terutama dalam hal berkaitan dokumen pengenalan diri dan kewarganegaraan. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI