fbpx
Hidayat Burhan diiringi anggota polis selepas dihadapkan di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menyebabkan kecederaan menggunakan senjata. Foto ARIF HAMIZAN MISKON/KOSMO!

Tikam ‘crush’, pemuda dipenjara tujuh tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Perbuatan seorang pemuda menikam remaja perempuan berusia 18 tahun kerana gagal memikat mangsa memakan diri apabila dia dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Keputusan itu dibuat Hakim Rohatul Akmar Abdullah selepas tertuduh, Muhammad Hidayat Burhan, 25, yang masih bujang mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didapati menikam mangsa yang juga adik kepada abang ipar tertuduh dengan menggunakan pisau sehingga boleh menyebabkan kematian.

Perbuatan dilakukan pada pukul 4.05 petang, 20 Oktober lalu di Jalan Tangga Batu berhadapan Taman Tangga Batu, Melaka Tengah.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan denda. Sekiranya perbuatan itu boleh menyebabkan kecederaan kepada mana-mana orang, dia boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu supaya hukuman ke atasnya diringankan dan mengakui mengenali serta pernah cuba memikat mangsa sebelum melakukan jenayah tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri bagaimanapun mencadangkan hukuman setimpal dengan mengambil kira jenayah dilakukan tertuduh mendatangkan kecederaan terhadap mangsa.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama tujuh tahun terhadap tertuduh bermula dari tarikh lelaki itu ditangkap pada 21 Oktober lalu.

Kosmo! pada 20 Oktober lalu melaporkan seorang remaja perempuan cedera selepas dipercayai dilibas dengan objek tajam ketika menunggang motosikal di Jalan Tangga Batu, Tanjung Kling pada pukul 4.45 petang.

Dalam kejadian itu, mangsa berusia 18 tahun yang bekerja sebagai operator kilang mengalami luka sepanjang tujuh sentimeter di pinggang.

Mangsa yang berasal dari Tangkak, Johor mendakwa tidak berselisih faham dengan sesiapa kerana baru tiga bulan bekerja di sebuah kilang di negeri ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI