JAKARTA – Sebilangan penerima bantuan sosial, Program Keluarga Harapan (PKH) di sebuah daerah di Indonesia nekad menarik diri daripada program tersebut kerana malu rumah mereka dipasang pelekat bertulis ‘Keluarga Miskin’, lapor laman berita Tribunnews hari ini.
Program PKH menyasarkan keluarga berpendapatan rendah termasuk wanita hamil, kanak-kanak kecil, pelajar sekolah, orang kurang upaya dan warga emas.
Matlamat Jabatan Perkhidmatan Sosial dalam memasang pelekat itu adalah untuk memastikan bantuan hanya diberikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
Bagaimanapun, sebilangan penerima memprotes langkah terbaharu itu kerana menyifatkan ia memalukan mereka.
Disebabkan itu, ramai antara mereka dilaporkan menarik diri daripada menjadi penerima bantuan tersebut, manakala bagi yang benar-benar tidak berkemampuan, mereka menerima langkah tersebut.
Ahli Majlis Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) Kepahiang, wilayah Bengkulu, Nendi Sepriadi berkata, tindakan Agensi Perkhidmatan Sosial Kepahiang adalah wajar kerana ia mahu memastikan proses pemberian bantuan sosial mencapai kumpulan sasaran.
“Bantuan sosial yang diagihkan akhirnya mencapai sasaran yang tepat. Kami melihat ramai penduduk menarik diri kerana mereka merasakan mereka mampu dan malu menerimanya (bantuan).
“Mereka malu dengan pelekat yang melabelkan mereka sebagai keluarga miskin,” katanya.
Nendi berkata, beliau berharap Agensi Perkhidmatan Sosial Kepahiang dapat memberi penerangan terperinci kepada penerima PKH sebelum pelekat dipasang.
“Masyarakat akan diberi pemahaman. Dengan cara ini, penduduk tidak akan berasa terhina atau rendah diri,” tambahnya. – AGENSI














