fbpx
Anggota polis membawa Chin Ooi (tiga dari kiri) dan Fei Fang (belakang, dua dari kiri) untuk didakwa atas pertuduhan merompak pajak gadai di Mahkamah Majistret Pasir Mas, Pasir Mas hari ini. Foto KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN

Pasangan kekasih didakwa rompak barang kemas RM5.75 juta di pajak gadai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PASIR MAS – Sepasang kekasih didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan merompak barang kemas bernilai lebih RM5.75 juta di sebuah pajak gadai di Jalan Besar dekat sini pada minggu lalu.

Tertuduh, Wee Chin Ooi, 49 dan teman wanitanya, Wee Fei Fang, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Syed Farid Syed Ali.

Mengikut pertuduhan, Chin Ooi didakwa merompak barangan kemas yang dianggarkan bernilai RM5.75 juta dengan menggunakan sebilah pisau terhadap seorang wanita di sebuah kedai pajak gadai di Jalan Besar di sini kira-kira pukul 1 tengah hari pada 21 Oktober lalu.

Lelaki itu dituduh mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebat jika disabitkan kesalahan.

Sementara itu, Fei Fang didakwa bersubahat dengan Chin Ooi melakukan rompakan barangan kemas lebih RM5.75 juta di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

Pengurus yang bekerja di premis pajak gadai itu didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 dan Seksyen 109 kanun sama yang turut membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebat jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aiysha Na’ilah Harizan manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, K. M. Maalinni.

Mahkamah tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin selain menetapkan 6 November depan untuk sebutan semula kes.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, seorang wanita yang merupakan pengurus di sebuah pajak gadai di sini dipercayai menjadi dalang dalam kes rompakan barang kemas seberat 10.9 kilogram (kg) bernilai RM5.7 juta di premis dia bekerja pada minggu lalu.

Kejadian yang berlaku pada 21 Oktober lalu itu terbongkar selepas kekasih wanita tersebut ditahan polis tiga hari selepas rompakan dijalankan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, siasatan awal mendapati, suspek dipercayai menyembur cecair pembasmi kuman pada bahagian muka salah seorang pekerja di pajak gadai itu.

Menurutnya, suspek kemudian bertindak mengacukan pisau kepada pekerja itu sebelum masuk ke dalam pajak gadai itu dan melarikan barang kemas yang dianggarkan bernilai RM5.7 juta dari dalam peti besi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI