PETALING JAYA – Pelakon Que Haidar mencuri perhatian ramai apabila memuat naik video menyanyi sambil berbaring tanpa berbaju dalam TikToknya.
Perkongsian Que atau nama penuhnya Tengku Iskhan Shah bin Tengku Haidar, 46, itu sekali gus mengundang pelbagai respons netizen termasuk usikan nakal peminat wanita.
Rata-rata berpendapat Que yang kini berambut ‘blonde’ semakin tampan dan berharap ramai pengarah menawarkan watak hero kepada aktor itu dalam mana-mana filem.
“Kelirulah, kenapa Que Haidar jadi Brad Pitt Malaysia.
“Video ini 45 minit tapi kenapa saya sudah berada hampir dua jam di sini.
“Tergugat iman, tiba-tiba rasa nak tukar nama jadi Jamilah,” usik netizen.
Menerusi video sama, dia turut menyanyikan lagu Jamilah dendangan asal Jamal Mirdad.
Sebelum ini, Que pernah mencuri perhatian apabila memuat naik foto memaparkan badan kekarnya ketika melakukan aktiviti sukan di gimnasium.
Terdahulu, rumah tangga yang dibina Que bersama koreografer dan personaliti televisyen Linda Jasmine selama 15 tahun berakhir selepas mereka bercerai talak satu pada 2 Julai 2024.
Mereka mendirikan rumah tangga pada 14 Februari 2009 dan dikurniakan dua cahaya mata perempuan, Tengku Ratu Haidar, 15, dan Tengku Cleopatra Haidar, 12. – KOSMO! ONLINE














