JAKARTA – Bandar yang diilhamkan menjadi ibu kota baharu Indonesia, Nusantara berdepan risiko menjadi ‘bandar hantu’ apabila peruntukan semakin merudum dengan kebanyakan infrastruktur masih dalam fasa pembinaan, lapor akhbar The Guardian.
Nusantara yang terletak di Kalimantan Timur itu dilancarkan bekas Presiden, Joko Widodo (Jokowi) tiga tahun lalu sebagai pengganti bandar raya Jakarta yang sesak, semakin tenggelam dan tercemar.
Namun, di bawah pemerintahan Presiden Prabowo Subianto sejak Oktober tahun lalu, peruntukan untuk projek tersebut merosot daripada £2 bilion (RM11 bilion) pada 2024 kepada £700 juta (RM3.8 bilion) tahun ini.
Sebanyak £300 juta (RM1.6 bilion) telah diperuntukkan bagi tahun depan, kira-kira satu pertiga daripada apa yang diminta.
Pelaburan swasta juga merosot lebih £1 bilion (RM5.5 bilion) daripada sasaran.
Selain masih belum membuat lawatan ke Ibu Kota Nusantara (IKN), Prabowo turut menggelar kawasan itu sebagai ‘ibu kota politik’ pada Mei lalu.
Ketua dan timbalan badan yang mengawasi ibu negara baharu itu turut meletak jawatan pada tahun lalu.
Selain itu, cuma kira-kira 2,000 penjawat awam dan 8,000 pekerja binaan kini menetap di Nusantara, jauh daripada sasaran 2030 iaitu seramai 1.2 juta.
Antara infrastruktur yang telah dibina termasuk pangsapuri, bangunan kementerian, hospital, jalan raya, sistem air dan lapangan terbang, namun kebanyakannya masih dalam fasa pembinaan.
Seorang pakar undang-undang perlembagaan dari Universiti Mulawarman, Herdiansyah Hamzah berkata, kawasan itu sudah menjadi ‘bandar hantu’, manakala nama ‘ibu kota politik’ tidak mempunyai makna dalam undang-undang Indonesia.
“Ibu negara baharu itu bukan keutamaan bagi Prabowo. Dari segi politik, ia ibarat hidup segan, mati tidak mahu,” katanya. – AGENSI














