KUALA LUMPUR – Hubungan pertahanan Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) melakar sejarah baharu apabila kedua-dua negara menandatangani perjanjian kerjasama pertahanan rasmi buat julung kali bagi memperkukuh keselamatan serantau serta meningkatkan keupayaan ketenteraan negara.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perjanjian itu menandakan satu langkah besar selepas hubungan antara Malaysia dan AS selama ini hanya berasaskan bentuk kerjasama tidak rasmi.
“Sebelum ini, kita tidak mempunyai rangka kerja kerjasama yang formal, namun kita banyak menjalankan latihan bersama, pertukaran pegawai dan menerima sokongan daripada Amerika Syarikat di bawah pelbagai program peningkatan keupayaan pertahanan sebelum ini.
“Dengan adanya perjanjian rasmi ini, segala bentuk kerjasama dapat disusun dengan lebih teratur, terselaras dan menepati keperluan serta kepentingan pertahanan negara,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) ke-19 dan ADMM-Plus Ke-12 di sini, hari ini.
Menurut Mohamed Khaled, perbincangan dengan Hegseth turut menumpukan kepada isu keselamatan dua hala dan cabaran di Laut China Selatan yang kekal menjadi antara kawasan strategik serta sensitif di rantau ini.
“Kita turut menekankan kepentingan memastikan kawasan ini kekal selamat, stabil dan bebas bagi laluan perairan antarabangsa. Ini merupakan antara perkara utama yang dibincangkan dalam platform ADMM-Plus,” katanya.
Beliau juga menyifatkan diplomasi pertahanan sebagai sesuatu yang sangat penting.
“Melaluinya, negara lain boleh membantu jika berlaku sebarang situasi tidak diingini, di samping menyumbang kepada peningkatan keupayaan pertahanan kita.
“Semakin berkesan diplomasi kita, semakin tinggi keyakinan negara luar terhadap kemampuan Malaysia berdepan cabaran keselamatan,” ujarnya.
Mohamed Khaled turut menegaskan bahawa perjanjian pertahanan dengan AS ini mencerminkan kejayaan diplomasi pertahanan Malaysia yang berjaya mengekalkan hubungan baik bukan sahaja dengan Washington, tetapi juga bersama Beijing.- KOSMO! ONLINE














