RAUB – Kerajaan masih menetili untuk melesenkan permainan dalam talian seperti Roblox sekiranya kandungan permainan terbabit didapati memberi kesan negatif kepada kanak-kanak.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kini sedang meneliti keperluan pelesenan berkenaan selain memantau beberapa permainan lain yang disifatkan tidak sesuai untuk kanak-kanak bawah umur 16 tahun.
“Kita belum lagi berhasrat untuk melesenkan permainan Roblox tapi kita sedang membuat pemantauan sama ada perlu dilesenkan ataupun tidak.
“Bukan hanya Roblox tetapi banyak permainan lain dan ada dalam 10 jenis permainan lain yang mungkin tidak sesuai untuk kanak- kanak bawah usia 16 tahun.
“Jadi kita sedang memantau dan meneliti apakah mekanisme kerangka kawal selia yang terbaik. Berikan saya sedikit masa sebelum kita buat pengumuman. Tetapi kita tidak boleh berdiam diri, tidak boleh berpeluk tubuh cuma mekanismenya sedang diteliti,”katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Kempen Internet Selamat Peringkat Negeri Pahang di Sekolah Kebangsaan Raub Indah di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE














