fbpx
RONALDO (kiri) dikecewakan oleh Benzema yang meledak satu gol buat Al Ittihad dalam kemenangan 2-1 ke atas Al Nassr awal pagi semalam. - AFP

Kemarau trofi Ronaldo berlarutan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

RIYADH – Impian Cristiano Ronaldo untuk menjulang trofi sejak tiba di bumi Arab Saudi bersama Al Nassr pada 2022 terus berlarutan apabila terbaharu tersingkir di pusingan 16 terbaik Piala Raja Saudi.

Ronaldo, 40, terpaksa menerima hakikat itu apabila gagal menyinar dalam kekalahan 1-2 kepada seteru utama yang juga juara bertahan Liga Pro Saudi, Al Ittihad di Stadium Al-Awwal Park awal pagi semalam.

Al Nassr harus menyalahkan diri sendiri kerana gagal mengambil kesempatan terhadap situasi Al Ittihad beraksi dengan 10 pemain hampir keseluruhan babak kedua selepas Ahmed Al Julaydan dilayangkan kad merah pada minit ke-49.

Trio serangan diketuai Ronaldo, Kingsley Coman, Joao Felix dan Sadio Mane gagal menembusi benteng pertahanan Al Ittihad sepanjang babak kedua selepas meraih satu gol di separuh masa pertama menerusi Angelo Gabriel.

Kegagalan itu menyebabkan Al Nassr berputih mata untuk merakam kemenangan apabila tewas hasil dua jaringan Al Ittihad melalui Karim Benzema dan Houssem Aouar pada minit ke-15 serta 45+2.

Sebagai rekod, Ronaldo pernah memenangi Piala Juara-Juara Kelab Arab 2023 bersama Al Nassr tetapi kejohanan itu tidak diiktiraf sebagai pertandingan rasmi oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Kini, kapten Portugal itu tidak boleh mensia-siakan kedudukan mereka di tangga teratas Liga Pro Saudi musim ini dengan kelebihan tiga mata ke atas pasukan tempat kedua, Taawoun FC bagi memastikan kemarau trofinya berakhir.

Selain itu, pemenang lima Ballon d’Or tersebut juga berpeluang untuk menjulang gelaran Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) selepas Al Nassr gagal melayakkan diri ke pentas berprestij Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) musim ini. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI