JAKARTA – Pihak Berkuasa Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Iskandar Muda Blang Bintang, Aceh Besar memberi amaran kepada orang ramai agar tidak bermain layang-layang berhampiran kemudahan itu atau mereka berdepan denda sehingga 1 bilion rupiah (RM250,000), lapor laman berita Tribunnews semalam.
Pengurus Besarnya, Setiyo Pramono berkata, aktiviti tersebut membahayaan keselamatan pesawat.
Tambahnya, hukuman bagi kesalahan tersebut adalah penjara hingga tiga tahun atau denda maksimum 1 bilion rupiah.
“Bermain layang-layang di lapangan terbang sangat menjejaskan keselamatan penerbangan. Kami sudah beberapa kali mengingatkan orang ramai berhubung perkara itu,” katanya.
Amaran itu dikeluarkan susulan video tular yang memaparkan sebuah pesawat terbang berhampiran sejumlah layang-layang yang dimain oleh penduduk setempat.
Dalam video tersebut, sekumpulan penduduk melihat ke arah pesawat yang terbang pada jarak hampir dengan layang-layang mereka.
“Detik cemas, pesawat nyaris melanggar layang-layang di langit Aceh Besar,” kata keterangan video itu.
Menurut Setiyo, pasukannya kini menjalankan rondaan rutin dan operasi penguatkuasaan bersama Jawatankuasa Keselamatan Lapangan Terbang.
Ia melibatkan Tentera Udara Indonesia dan Pos Polis Lapangan Terbang untuk mengambil tindakan terhadap individu yang menerbangkan layang-layang di Kawasan Keselamatan Operasi Penerbangan (KKOP).
Beliau menjelaskan bahawa KKOP meliputi radius kira-kira 15 kilometer dari lapangan terbang.
Di kawasan itu, sebarang aktiviti yang berpotensi mengganggu penerbangan adalah dilarang, termasuk menerbangkan layang-layang.
“Risikonya sangat membawa maut jika layang-layang memasuki enjin pesawat,” kata Setiyo. – AGENSI














