TOKYO – Seorang datuk bandar di Jepun menerima kecaman ramai selepas mengaku menginap lebih 10 kali di sebuah ‘hotel cinta’ dengan rakan sekerjanya yang sudah berkahwin, lapor portal berita Must Share News.
Datuk Bandar Maebashi, Akira Ogawa, 41, mengadakan sidang akhbar selepas berita dia bermalam di ‘hotel cinta’ dengan pegawai bawahan itu tular.
Ogawa mengaku melawat hotel itu dengan pekerja terbabit, namun beliau menafikan mereka menjalinkan hubungan sulit.
Tambah Ogawa, mereka menginap di hotel tersebut lebih 10 kali sejak Februari lalu.
“Ini adalah untuk mengelakkan pandangan serong dan membincangkan soal kerja dengan lebih selesa,” lapor akhbar Chosun Daily memetik kenyataan Ogawa.
Pasangan itu pada awalnya bertemu di restoran, namun pekerja tersebut mencadangkan Ogawa untuk pergi ke hotel.
Beliau turut menanggung semua perbelanjaan bagi setiap penginapan di hotel tersebut.
Ogawa menyesal kerana tindakannya mencetuskan salah faham dan berhasrat untuk meneruskan peranan sebagai datuk bandar. – AGENSI














