TUMPAT – Seorang buruh binaan didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh sepupu isterinya di Kampung Kok Bedullah, di sini pada Jumaat lalu.
Tertuduh, Hamizi Hamzah, 45, hanya mengangguk faham, namun tiada pengakuan direkodkan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wan Ashrul Afhan Mohamad Azmi.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan pembunuhan sehingga menyebabkan kematian kepada Mohd. Shuhairi Hasim, 46, di Kampung Kok Bedullah, di sini kira-kira pukul 11.20 malam pada 24 Oktober lalu. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun dan sebatan sekiranya tidak dikenakan hukuman mati jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nazuha Ismail manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 28 Januari depan untuk sebutan semula kes. Pada prosiding sama, Hamizi mengaku bersalah atas pertuduhan mengambil dadah jenis methamphetamine di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Tumpat di sini pada 25 Oktober lalu.
Lelaki itu dituduh mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.- KOSMO! ONLINE














