SEBERANG PERAI – Sebanyak sembilan aduan berkaitan pelaksanaan program Budi Madani RON95 (Budi95) diterima Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang sejak bulan lalu.
Pengarahnya, S. Jegan bagaimanapun berkata, hanya tiga daripada aduan terbabit melibatkan isu sukatan bahan api yang berada di bawah bidang kuasa KPDN.
Katanya, antara aduan yang diterima berasaskan tanggapan pengguna yang merasakan jumlah petrol diisi tidak sepadan dengan bayaran yang dibuat. “Contohnya, ada pengguna yang mengisi petrol RM30 dan rasa meter sepatutnya naik lebih banyak, tetapi ia tidak berlaku, maka mereka tidak puas hati.
“Apabila penguat kuasa lakukan siasatan, kita dapati tiada penyelewengan berlaku dan sukatan pam memang tepat, cuma kadang-kadang perasaan pengguna saja yang terasa kurang,” katanya ketika diminta mengulas mengenai jumlah aduan diterima KPDN berhubung Budi95.
Terdahulu, Jegan melakukan pelupusan barang rampasan berjumlah RM4.76 juta di Kompleks Penyimpanan Ekshibit KPDN negeri di Bukit Minyak di sini, hari ini. -KOSMO! ONLINE














