HARI ini dijangka menjadi hari paling kritikal buat industri bola sepak Malaysia yang kini menanti penuh debar keputusan daripada Jawatankuasa Rayuan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berhubung rayuan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Mengambil kira tindakan yang dikenakan oleh FIFA berkaitan dakwaan pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan ini sudah pun mendapat liputan meluas, keputusan badan induk bola sepak dunia itu pasti akan menjadi tumpuan ramai.
Bekas Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Kamarudin Abdullah berkata, semua pihak perlu melihat secara rasional dan berlapang dada untuk menerima apa saja keputusan yang bakal dibuat oleh FIFA termasuk jika keputusannya tidak berpihak kepada Malaysia.
“Keputusan yang dibuat sebelum ini pastinya berdasarkan fakta dan sebelum buat keputusan, saya rasa FIFA sudah siasat secara mendalam. Jadi dari sisi itu, mungkin harapan (untuk berpihak kepada Malaysia) susah.
“Bagi saya, apa sekali pun keputusan FIFA berhubung rayuan yang FAM buat, kita ambil dengan hati terbuka. Semua orang tahu apa yang jadi memalukan dan mencalarkan imej Malaysia.
“Tetapi, jika tidak berpuas hati dengan keputusan FIFA itu nanti, Mahkamah Timbangtara Antarabangsa (CAS) adalah yang paling tinggi kita boleh bawa,” katanya.
Menerusi laporan rasmi FIFA bertajuk “Notification of the Grounds of the Decision” sebelum ini, badan induk bola sepak dunia itu menjelaskan butiran penuh berhubung hukuman terhadap FAM dan tujuh pemain warisan.
Pemain berkenaan adalah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Alejandro Hevel.













