KUALA LUMPUR – Dalam usaha memperkasakan skuad beregu lelaki negara, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengambil keputusan melantik bekas pemain kebangsaan, Chang Kim Wai.
Beliau yang dilantik sebagai penolong jurulatih akan memulakan tugas secara rasmi 4 November nanti bagi membantu Herry Iman Pierngadi mengemudi skuad beregu lelaki bersama seorang lagi jurulatih, Muhammad Miftakh.
Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky menganggap kepulangan Kim Wai mampu menjadi nilai tambah buat pasukan beregu lelaki.
“Kami berbesar hati menyambut kehadiran Kim Wai ke dalam barisan kejurulatihan kerana beliau memiliki pengalaman luas serta kefahaman mendalam dengan permainan beregu.
“Kami percaya kombinasi ini akan membantu pemain-pemain beregu negara untuk naik ke tahap lebih tinggi pada masa hadapan,” katanya menerusi satu kenyataan dikeluarkan BAM hari ini.
Sebagai rekod, Kim Wai, 49, pernah menabur bakti bersama skuad kebangsaan dengan memenangi pingat perak Sukan Komanwel 2002 dan gangsa Sukan Asia 2002 selain merupakan anggota skuad Piala Thomas 2002.
“Ini merupakan satu penghormatan besar untuk saya kembali berkhidmat bersama badminton Malaysia. Saya berazam membantu pasukan mencapai kejayaan baharu.
“Saya sudah tidak sabar untuk bekerjasama dengan Herry, Miftakh dan pemain-pemain negara bagi membawa nama Malaysia kembali ke puncak dunia,” ujar Kim Wai. – KOSMO! ONLINE














