fbpx
Mohamed Khaled ketika hadir ke sesi lawatan persiapan akhir sempena ADMM ke-19 & ADMM-Plus ke-12, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini. Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON KOSMO!

ADMM ke-19 dijangka terima pakai 20 inisiatif baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) ke-19 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini dijangka menerima pakai 20 inisiatif baharu menjadikannya jumlah tertinggi pernah direkodkan dalam tempoh setahun.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, antara tumpuan utama kali ini ialah pengeluaran kenyataan bersama bersejarah berkaitan kerjasama dalam bidang kecerdasan buatan (AI).

Menurut beliau, kenyataan itu merupakan yang pertama seumpamanya di dunia dalam sektor pertahanan yang dikeluarkan oleh sebuah organisasi serantau.

“Kemajuan pesat AI kini turut membentuk landskap pertahanan, menawarkan keupayaan baharu tetapi pada masa sama mewujudkan risiko baharu.

“Kenyataan ini memberi isyarat tekad kita (menteri-menteri pertahanan ASEAN) untuk mendekati AI secara bertanggungjawab dengan mengimbangi inovasi dengan akauntabiliti,” katanya pada sidang akhbar ADMM ke-19 dan ADMM-Plus ke-12 di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Khaled memaklumkan Timor-Leste akan menyertai buat kali pertama mesyuarat ADMM dan ADMM-Plus sebagai anggota ASEAN ke-11, sekali gus menandakan langkah bersejarah bagi negara itu dalam bidang keselamatan serantau.

Tambahnya, mesyuarat kali ini akan turut diumumkan Prosedur Bencana Baharu ASEAN, iaitu pengesahan prosedur operasi standard bagi bantuan kemanusiaan dan bencana.

“Ini bagi memastikan koordinasi pantas dan respon lebih efektif ketika krisis bencana,” katanya.

Mohamed Khaled turut memaklumkan bahawa dua negara baharu iaitu Jerman dan Turki kini menyertai sebagai pemerhati baharu Kumpulan Kerja Pakar ADMM-Plus bagi memperluas jaringan kerjasama antarabangsa ASEAN dalam sektor pertahanan.

“Sorotan penting lain ialah ancaman kompleks iaitu inisiatif baharu akan tertumpu kepada kerjasama menangani ancaman baharu dan kompleks, daripada keselamatan siber, maritim hinggalah kepada perlindungan infrastruktur kritikal bawah laut,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI