KUALA LUMPUR – Portal Semak Mule Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima lebih 26.5 juta carian sejak diperkenalkan pada Oktober 2020 hingga 26 Oktober lalu.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd. Isa, daripada jumlah itu, sebanyak 2.7 juta carian dikesan positif iaitu melibatkan maklumat yang pernah digunakan dalam kes penipuan.
“Daripada carian positif tersebut, 2.2 juta membabitkan nombor akaun bank, nombor telefon (520,371) dan nama syarikat (5,221),” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar Semak Mule di Ibu Pejabat JSJK, hari ini.
Beliau berkata, pangkalan data portal Semak Mule kini mengandungi 299,531 akaun bank, nombor telefon (233,568) dan nama syarikat (7,867) yang telah dilaporkan kepada polis kerana disyaki digunakan oleh sindiket penipuan.
Rusdi menjelaskan, portal Semak Mule diwujudkan bagi membantu masyarakat menyemak terlebih dahulu maklumat akaun atau nombor telefon sebelum membuat sebarang transaksi kewangan, sekali gus mencegah mereka daripada menjadi mangsa penipuan.
“Melalui platform ini, masyarakat kini mempunyai saluran pantas untuk menilai sama ada sesuatu akaun atau nombor telefon pernah digunakan dalam kes jenayah komersial,” ujarnya.
Beliau menambah, selain membantu pengguna individu, portal berkenaan turut berperanan menyediakan pangkalan data penipuan yang komprehensif untuk rujukan pihak berkuasa dalam siasatan kes jenayah komersial. – KOSMO! ONLINE














