YALA, THAILAND – Tindakan kerajaan menyekat aliran kewangan haram menerusi kegiatan dadah, penyeludupan dan pemerdagangan manusia dipercayai menjadi punca utama 10 ahli kumpulan merompak barangan kemas bernilai RM3.11 juta di Sungai Golok, dekat sini baru-baru ini.
Panglima Tentera Wilayah Ke-4, Leftenan Jeneral Naratip Phoyanok berkata, langkah itu sekali gus menjejaskan sumber kewangan kumpulan tersebut apabila terpaksa mencari dana lain untuk menampung kegiatan mereka.
Menurutnya, siasatan turut mendapati, kumpulan tersebut juga cuba mensabotaj ekonomi dan perniagaan tempatan di kawasan Sungai Golok.
“Kumpulan perompak itu dipercayai terlibat dengan kegiatan dadah, penyeludupan barangan tanpa cukai dan pemerdagangan manusia. Apabila kerajaan bertindak memperketat dan menyekat aliran kewangan hasil daripada kegiatan haram, sumber mereka terjejas.
“Keadaan itu menyebabkan kumpulan itu terpaksa mencari dana untuk menampung kegiatan mereka,” katanya ketika ditemui pemberita dari Malaysia di Kem Sirindhorn, di sini semalam.
Mengulas lanjut, Naratip memberitahu, bukti forensik kukuh sudah mengesahkan penglibatan kesemua suspek yang terlibat dalam kejadian rompakan tersebut.
Menurutnya, sehubungan itu, pihaknya sudah memfailkan permohonan kepada mahkamah bagi mendapatkan waran tangkap terhadap tujuh suspek yang dipercayai lolos ke Malaysia.
“Kita akan terus mengesan dan menangkap suspek untuk dibawa ke muka pengadilan secepat mungkin mengikut undang-undang yang sah,” katanya.
Akhbar Kosmo! baru-baru ini melaporkan, suasana tenang di sebuah pasar raya di daerah ini pada 5 Oktober lalu bertukar kecoh apabila 10 lelaki berpakaian serba hitam dan bersenjata raifal M16 dan AK104 melepaskan tembakan ketika merompak sebuah kedai emas.
Dalam kejadian terancang pukul 6.30 petang itu, kumpulan perompak tersebut melarikan pelbagai barangan kemas bernilai RM3.11 juta.
Jurucakap Polis Wilayah 9 berkata, kumpulan perompak yang melepaskan tembakan ketika merompak barangan kemas bernilai RM3.11 juta di sebuah kedai emas di Sungai Golok itu berkemungkinan lolos ke Malaysia.
Menurutnya, siasatan mendapati, dua buah trak pikap yang disyaki digunakan kumpulan perompak terbabit ditinggalkan di kebun kelapa sawit di Mukim Kayukhla, Daerah Waeng, di sini selepas kejadian.
Sementara itu, Sumber Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) berkata, penemuan darah di dalam trak pikap yang digunakan kumpulan itu membongkar identiti lima daripada 10 suspek yang terlibat dalam kes itu.
Menurutnya, individu terbabit ialah Muhammad Nasai Jeyo, Bakri Samea, Suhaiming Awanu, Mahama Romsee Jehteh dan Saifuddin Yusoh.
Menurutnya, polis mengenal pasti suspek terbabit yang merupakan warga Thailand selepas melakukan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas darah tersebut. – KOSMO! ONLINE














