SEOUL – Seorang wanita berusia lingkungan 50-an di Korea Selatan mengalami kerugian lebih 500 juta won (RM1.47 juta) selepas ditipu individu yang menyamar sebagai bintang utama siri popular Squid Game, Lee Jung-jae, lapor laman berita Oddity Central.
Wanita yang dikenali sebagai A. itu menjalinkan hubungan dengan individu terbabit selepas dihubungi melalui media sosial dan memperdaya mangsa menggunakan imej Jung-jae yang dijana oleh kecerdasan buatan (AI).
“Ini adalah pelakon Lee Jung-jae. Saya mesej anda untuk berkomunikasi dengan peminat,” kata penyamar kepada A sebelum perbualan mereka beralih ke aplikasi pemesejan, Kakao Talk.
Terpedaya dengan janji manis, A. tidak teragak-agak untuk membuat transaksi selepas dia diminta sejumlah wang oleh suspek.
“Penyamar itu memberitahu saya dia akan melangsaikan hutang selepas kembali ke Korea Selatan. Saya percayakan dia.
“Dia sering mengemukakan pelbagai alasan untuk meminta wang seperti terkandas di lapangan terbang negara lain tanpa boleh pulang,” kata A. kepada polis selepas menyedari dirinya ditipu.
Agensi Polis Wilayah Gyeongsang Selatan mengesahkan A. sebagai mangsa, namun identiti sebenar penyamar Jung-jae masih belum diketahui. – AGENSI














