SERDANG – Polis sedang menyiasat berhubung penemuan mayat wanita dalam keadaan tangan terikat tanpa pakaian dipercayai dibunuh berhampiran bulatan Blue Water Estate, Seri Kembangan, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan mayat itu pada pukul 3.45 petang.
“Berdasarkan maklumat awal, mayat itu dipercayai wanita, namun kewarganegaraannya masih belum dapat dipastikan. Mangsa mempunyai ketinggian 144 sentimeter, berambut perang melepasi bahu, berkuku panjang, memakai subang perak di kedua-dua telinga, gelang kain berwarna hijau dan merah serta tatu di tangan kanan,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di talian 03-8074 2222 atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














