PETALING JAYA – Kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke Malaysia sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 secara tidak langsung mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).
Menurut perkongsian hantaran di aplikasi X oleh usahawan terkenal negara, Richard Ker, berkongsi gambar Presiden AS menari di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Ahad lalu.
“Saya rasa ini promosi secara tidak langsung yang paling berjaya untuk Tahun Melawat Malaysia 2026,” ujarnya.
Untuk rekod, ketibaan Trump disambut meriah dengan penari tradisional mencuri perhatian ramai sekali gus mempromosikan imej Malaysia yang penuh dengan peradaban dan kebudayaan.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menetapkan sasaran seramai 40 juta pelancong luar negara akan berkunjung ke Malaysia sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).
Difahamkan, lawatan rasmi kali ini merupakan pertama kali, Presiden AS ke rantau Asia Tenggara sejak dipilih sebagai Presiden AS ke-47 pada Januari lepas.
Kehadiran Trump di Malaysia dipercayai memperkukuhkan ekonomi serantau termasuk membuka pintu gerbang utama ASEAN dalam mempromosikan imej negara kepada pelancong asing.
Video berdurasi 20 saat itu masih menarik perhatian ramai walaupun selepas tiga hari hantaran tersebut dikongsikan oleh 1.1 juta tontonan serta 50,000 ribu komen di Instagram rasmi White House.
Sementara itu, perkongsian video asal Trump dikongsi oleh Pembantu Khas Presiden AS kini hampir mencecah 50 juta tontonan pada semua platform media sosial.
Perkongsian tersebut turut membuka mata pengguna media sosial dengan aksi spontan secara tidak langsung itu menerima impak positif.
“Inilah taktik terbaik dalam mempromosikan imej kedaulatan negara,” komen pengguna aplikasi X.
“Sebab inilah kami (rakyat) mahu Presiden AS datang Malaysia. Antara tindakan diplomatik bijak,” komen pengguna Threads. – KOSMO! ONLINE














