fbpx
Zamil (dua dari kiri) bersama dua lagi individu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar atas pertuduhan rasuah, hari ini. - Foto oleh SHAHIR NOORDIN

Tiga termasuk bekas Presiden KITA dituduh rasuah RM400,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Bekas Presiden Parti Keadilan Insan Tanah Air (KITA), Zamil Ibrahim, 58, merupakan antara tiga individu yang didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua tuduhan rasuah berjumlah RM400,000 tahun lalu.

Dua lagi tertuduh ialah Jamal Muhaideen Mohmad Hussin, 41, yang bekerja sebagai pembantu tukang masak dan Muhammad Redza Adzmi, 34, mekanik.

Ketiga-tiga mereka mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu dibacakan secara bersama di hadapan Hakim N. Priscilla Hemamalini.

Mengikut pertuduhan pertama, mereka didakwa dengan niat bersama secara rasuah meminta pendakwah bebas, Ahmad Husam Muhamad Baderudin suapan wang RM400,000 di lobi sebuah hotel di Sungai Petani kira-kira pukul 9 malam, 4 November 2024.

Suapan itu didakwa sebagai dorongan kononnya untuk membantu menyelesaikan siasatan kes pengubahan wang haram ke atas Yayasan Ar-Riyadah oleh Polis Diraja Malaysia.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa secara rasuah bersetuju menerima daripada individu sama wang RM20,000 atas dorongan sama di pekarangan Masjid Al-Khairiyah, Bedong dalam daerah Kuala Muda kira-kira pukul 12.30 tengah hari, 5 November 2024.

Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Fariz Abdul Hamid menawarkan jaminan RM100,000 bagi setiap tertuduh terhadap kedua-dua pertuduhan, namun peguam Aiman Abdul Rahman yang mewakili Zamil dan Jamal Muhaideen menyifatkan jumlah itu terlalu tinggi.

Lelaki itu memohon mahkamah mempertimbangkan jaminan lebih rendah iaitu RM10,000 seorang.

“Tertuduh Zamil disara dan dibantu oleh anak-anaknya yang bekerja. Dia mempunyai tujuh anak dengan dua daripada mereka berusia 15 tahun dan masih bersekolah, manakala seorang lagi berusia lima tahun dan autisme,” katanya.

Peguam, Datuk S. Ganesan yang mewakili Muhammad Redza berkata, anak guamnya mempunyai pendapatan tidak menentu sebagai mekanik, isterinya bekerja kilang dan mempunyai dua anak bersekolah serta ibu bapa yang bergantung kepadanya.

Mahkamah menetapkan jaminan RM15,000 bagi setiap tertuduh dan menetapkan sebutan semula kes pada 26 November ini. Kesemua mereka membayar jaminan yang ditetapkan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI