KUALA LUMPUR – Perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao terus dibelenggu dengan prestasi hambar selepas tersingkir di pusingan pertama pada Kejohanan Badminton Terbuka Hylo.
Pada perlawanan yang berlangsung di Saarlandhalle, Saarbrucken, Jerman sebentar tadi, pemain No.22 dunia itu tewas 14-21, 21-18, 16-21 kepada S. Subramanian dari India.
Walaupun turun sebagai pemain pilihan menerusi ranking lebih tinggi, namun bekas juara remaja Asia itu terpaksa akur untuk pulang lebih awal selepas berhempas pulas lebih sejam.
Menerusi kekalahan tersebut, Jun Hao mengharungi aksi cukup mengecewakan di Jelajah Eropah selepas turut kalah seawal pusingan pertama pada Terbuka Denmark dan Terbuka Perancis.
Pada pertemuan sebentar tadi, anak buah Kenneth Jonassen itu terpaksa bangkit daripada kekalahan set pertama bagi mengeheret perlawanan ke set penentuan.
Bagaimanapun, hasratnya untuk meneruskan kemaraan ke pusingan kedua tidak kesampaian apabila sekali lagi tewas di set ketiga.
Sebagai rekod, ini merupakan kekalahan kedua Jun Hao kepada Subramanian dalam dua perlawanan selepas pertemuan pertama di Thailand Masters tahun lalu turut memihak kepada pemain India itu. – KOSMO! ONLINE














