KUALA LUMPUR – Pelantikan Pendakwa Raya dibuat oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas syor Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP) antara cadangan awal yang sedang diteliti ketika ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, bagaimanapun, cadangan tersebut masih berada pada peringkat awal dan tertakluk kepada penelitian lanjut oleh Jawatankuasa Teknikal sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat.
Beliau berkata, langkah berkenaan mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkukuh ketelusan serta akauntabiliti pentadbiran perundangan negara.
“Pendekatan pelantikan seperti ini juga belum pernah dilaksanakan oleh mana-mana ketua kerajaan sebelum ini.
“Selain itu, turut juga dipertimbangkan cadangan kemungkinan pengalihan Bahagian Gubalan, AGC ke Parlimen,” katanya ketika perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 peringkat dasar di Dewan Rakyat, hari ini.
Namun demikian, perkara itu merupakan isu dasar yang memerlukan penelitian mendalam serta kajian menyeluruh dari segi implikasi perundangan, struktur institusi dan tadbir urus.
“Kerajaan turut mempertimbangkan opsyen ini selaras dengan amalan antarabangsa yang memisahkan fungsi penggubalan undang-undang daripada fungsi nasihat perundangan bagi memperkukuh prinsip semak dan imbang antara cabang eksekutif dan legislatif.
“Sekiranya langkah ini dilaksanakan, ia berpotensi meningkatkan ketelusan, mempercepatkan proses penggubalan undang-undang, serta memperkukuh autonomi Parlimen sebagai institusi perundangan tertinggi negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE














