PETALING JAYA – Sudah mahu menimang anak ketiga namun masih tidak pandai memasak, penyanyi Ayda Jebat mengakui tidak pernah putus asa malah semakin gigih berusaha untuk belajar menyediakan menu memenuhi selera keluarga kecilnya.
Menurut Ayda atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat, 33, suaminya, Nabil Mahir sendiri maklum dengan kekurangan tersebut, malah terkejut apabila dia pertama kali ‘masuk’ dapur sebaik berpindah di rumah baharu.
“Sebelum kahwin, saya bagi tahu Nabil yang saya tak pandai masak. Dia cakap ‘okey sahaja, tak perlu masak, ibu dia pun tak masak’.
“Sekarang kita dah tinggal di rumah sendiri, bila saya ke dapur cuba main masak-masak, Nabil jeling tepi kuali macam ‘demam ke bini aku ni’,” katanya dalam perkongsian dalam aplikasi Threads.
Menurutnya yang juga pelakon, berkata agak melucukan apabila Nabil tetap menjamah masakannya dengan bersungguh-sungguh biarpun memberi reaksi berbeza.
“Tapi bila dah siap dan dia rasa, dia cakap ‘sedap, sedap, sedap’, walaupun muka dia dah lain macam.
“Okey ke usaha memasak ini? Atau lupakan sahaja biar tukang masak ah yang masak. Beli dan makan di luar,” katanya.
Pada masa sama, ramai pengikut di media sosial menyuntik semangat supaya Ayda terus berusaha untuk memasak selain jangan jemu berlatih.
“Ramai komen suruh saya teruskan. Saya pun bersemangat. Sekurang-kurangnya nanti anak ingat air tangan mak. Masalahnya, Nayla suka makanan Jepun.
“Kena belajar memasak dekat Jepun ke macam ni. Macam Aali (anak kedua) dia bedal sahaja, jangan risau,” tambahnya.
Hasil perkongsian hidup dengan Nabil, Ayda yang kini hamil anak ketiga dikurniakan dua permata hati, Ana Nayla, 4 dan Aali Mateen, 2. – KOSMO!ONLINE














