KAJANG – Seorang pengguna Facebook yang mendakwa sekolah pondok di Kelantan dan Kedah ditutup berhadapan saman fitnah sebanyak RM10 juta kerana tuduhan tersebut sangat serius.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, apa dilakukan oleh kerajaan membabitkan sekolah pondok adalah sebaliknya, tidak seperti yang didakwa.
Beliau berkata, Kerajaan Madani malah bersungguh-sungguh membangunkan sekolah-sekolah institusi pondok dan ia antara agenda terpenting Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. “Kita telah lihat pelbagai perbincangan dan Perdana Menteri menyantuni tuan-tuan guru sekolah pondok. Jadi apa yang dituduh langsung tidak berasas.
“Perkara yang serius ini tidak boleh dibuat main dan sebab itu tindakan diambil oleh saya untuk memulakan saman terhadap individu tersebut.
“Pejabat menteri juga telah membuat satu laporan polis terhadap individu terbabit supaya satu siasatan yang adil dapatkan dilaksanakan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Modul Mini Tahfiz Al-Falah di sini hari ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan Mohd. Na’im mengemukakan surat tuntutan (LOD) sebanyak RM10 juta terhadap seorang pengguna laman sosial Facebook.
Ia berikutan dakwaan berunsur fitnah mengenai penutupan sekolah pondok di Kelantan dan Kedah yang dibuat oleh pengguna Facebook tersebut.
Berdasarkan surat tuntutan dikeluarkan firma guaman Akberdin & Co. kepada pengguna laman sosial dikenali sebagai ‘Hafiz Sahidi’, kenyataan yang menuduh menteri mengarahkan penutupan sekolah pondok tidak berdaftar adalah palsu, berniat jahat dan berunsur fitnah.
Mohd. Na’im seterusnya berkata, beliau menasihati semua pihak supaya memastikan kesasihan dan keabsahan sesuatu perkara sebelum membuat kenyataan mengenainya.
Kata beliau, kenyataan yang membawa kepada tanggapan konon kerajaan tidak serius mempertahankan institusi pondok merupakan satu fitnah dan ia sesuatu yang tidak boleh dibiarkan.
“Saya harap dengan laporan polis dan saman sivil yang kita buat jadi pengajaran dan semua pihak akan lebih berhati-hati di masa depan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














