PETALING JAYA – Seorang ibu meluahkan rasa marah terhadap penjaja yang didakwa menjual pelbagai jajan ‘viral’ di hadapan sekolah anaknya.
Menerusi hantaran di Thread, pemilik akaun @Nurfifiliana_ mendakwa, jajan yang dijual tersebut menyerupai deodoran yang mana kanak-kanak perlu menjilat atau menghisap untuk meminum air dari botol berkenaan.
Paling mengejutkan, wanita itu berkata, anak lelakinya hampir tertelan bebola ‘jajan’ deodoran tersebut.
“Semalam semasa ambil anak balik sekolah tengok dia tengah sedut benda ini. Ingatkan buat apa, rupa-rupanya ini jajan yang dia beli depan sekolah.
“Jajan ini sama macam deodoran. Dalam itu (kandungannya) ada air. Nak minum air kena jilat. Semalam anak sedut hampir terlepas bola itu (masuk) ke dalam mulut dia,” tulisnya.
Menurut wanita tersebut, dia sudah beberapa kali memarahi anaknya supaya tidak membeli barangan di hadapan sekolah selain mencatu duit belanja.
“Bukan tidak pernah beri amaran supaya jangan membeli, tapi budak-budak ini banyak kali pesan bukan dia dengar. Saya bagi duit RM4 dekat dia. Memang cukup-cukup untuk makan dekat sekolah.
“Tapi dia (anak) memang akan simpan sekurang-kurangnya RM1 untuk membeli selepas pulang dari sekolah,” kongsinya.
Tambahnya, dia turut memberi amaran kepada peniaga jajan tersebut, malah pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga sudah melakukan sitaan sebanyak beberapa kali.
Namun, katanya, peniaga yang dipercayai bukan warga tempatan itu masih berdegil dan meneruskan perniagaan jajan tersebut di hadapan sekolah berkenaan. Antara yang dijual di hadapan sekolah itu ialah sosej, ‘corndog’ dan megi yang tidak diketahui status halalnya.
“Saya pun dah marah supaya tidak jual benda mengarut macam ini. Macam mana lagi cara supaya peniaga ini tak berniaga lagi depan sekolah?
“Ibu bapa dah pening tak tahu nak buat apa, sama juga dengan PIBG. Dah buat laporan kepada DBKL tapi kadang-kadang mereka datang peniaga dah balik,” luahnya.
Tambahnya, pihak sekolah turut melarang penjaja menjual makanan di lokasi tersebut termasuk meletakkan papan tanda amaran, namun masih tidak dihiraukan.
Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati ramai ibu bapa yang terkejut melihat ‘jajan’ tersebut yang dijual terutama kepada golongan kanak-kanak.
“Saya tak pernah nampak jajan jenis ini. Terima kasih kongsi, selepas ini saya boleh pantau (anak-anak),” kata Latifah.
“Pihak berkuasa kena buat sesuatu (ambil tindakan) sebelum seseorang jadi mangsa. Hentikan (aktiviti) penjaja tersebut,”- KOSMO! ONLINE














