KUALA LUMPUR – Sukan sepak takraw negara kini beralih ke fasa transformasi untuk memastikan Malaysia terus menjadi peneraju sukan tersebut dengan bermulanya kerja-kerja menaik taraf Kompleks Sukan Jalan Raja Muda bagi pembangunan Akademi Sepak Takraw Malaysia di Kampung Baru.
Projek bernilai RM6 juta yang dijangka siap dalam tempoh tiga bulan itu bukan sahaja bakal menjadi pusat latihan paling lengkap, malah akan muncul sebagai akademi sepak takraw eksklusif pertama di Asia dan mungkin di dunia.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, keputusan untuk menaik taraf fasiliti sedia ada adalah langkah strategik bagi mengoptimumkan perbelanjaan dan mengelak pembaziran bagi membina stadium baharu.
“Kita tidak berminat membina fasiliti baharu kerana lebih baik menaik taraf bangunan sedia ada. Model ini lebih efisien dan menjimatkan,” katanya selepas menyempurnakan gimik memulakan kerja naik taraf di kompleks sukan itu, hari ini.
Projek yang dilaksanakan di atas tanah milik Institut Sukan Negara (ISN) itu akan dipajakkan kepada Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) bagi tempoh pajakan selama tiga tahun dengan pilihan tawaran lanjutan enam tahun (3+3).
Menurut Hannah, akademi tersebut bakal dilengkapi pelbagai kemudahan serba moden di bawah satu bumbung, termasuk penginapan atlet, gimnasium, bilik pembelajaran serta gelanggang latihan.
“Ini menjadi simbol bahawa Malaysia adalah peneraju bagi sukan warisan rantau ini,” tegasnya.
Dana RM6 juta itu merupakan sebahagian daripada peruntukan yang diumumkan Perdana Menteri sempena sambutan Hari Belia 2024, selaras dengan komitmen Kerajaan Madani menjadikan sukan sebagai wadah perpaduan rakyat.
Daripada jumlah itu, RM5.5 juta diperuntukkan untuk kerja naik taraf infrastruktur, manakala baki RM500,000 digunakan bagi melengkapkan fasiliti dan peralatan sukan.
Tambah beliau, kementeriannya juga telah menyalurkan peruntukan besar untuk pembangunan sepak takraw melalui pelbagai skim termasuk Geran Padanan Sukan dan Dana Sukan Komuniti yang mencecah RM9 juta (2023), RM8 juta (2024) dan RM6 juta (2025).
Dalam pada itu, KBS turut membuka peluang kepada sektor korporat untuk menaja hak penamaan akademi tersebut memandangkan potensi tontonan sukan itu yang sangat tinggi di peringkat antarabangsa.
“Kami mengalu-alukan penajaan daripada mana-mana pihak. Potensi tontonan sepak takraw sangat tinggi, terutamanya ketika Malaysia beraksi di kejohanan berprestij Piala Asia dan Piala Dunia baru-baru ini,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE














