PENGENDALI Selangor FC, Christophe Gamel mengakui fikirannya kini sedikit lapang untuk menerima kunjungan Negeri Sembilan pada aksi kedua suku akhir Piala FA di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam ini.
Selepas memiliki kelebihan empat gol, Gamel menjelaskan situasi sekarang tidak meletakkan Selangor dalam situasi terdesak untuk melakukan sesuatu yang luar biasa dan keutamaan adalah pertahankan bekal yang diraih daripada aksi pertama.
“Sudah tentu bukan tekanan buat kami kerana sudah ada kelebihan yang selesa, tetapi perlawanan tetap perlawanan. Jadi, apabila wisel penamat perlawanan (aksi kedua) dibunyikan, kami harus layak ke pusingan seterusnya.
“Namun, saya sedikit berdepan kesukaran kerana apa yang kita lihat, pemain seakan hilang tenaga dan sedikit bergelut, tetapi saya tetap mempunyai keyakinan terhadap mereka. Sesetengah daripada pemain perlu mengambil tanggungjawab untuk menjadikan perlawanan lebih baik,” katanya.
Bagaimanapun, Gamel sedar kehadirannya sebagai pengendali sementara bagi menggantikan Katsuhito Kinoshi adalah disertai dengan tanggungjawab besar untuk mengeluarkan pasukan daripada prestasi tidak konsisten.
Malah, bekas pengendali Sri Pahang itu seakan memberi bayangan keadaan pasukan akan bertambah getir sekiranya tidak mampu sekurang-kurangnya mengulangi prestasi musim lalu, layak ke pentas final.
“Bagi saya, pemain sudah berikan jawapan (reaksi balas daripada kekalahan) dengan positif dan ia adalah detik penting buat kami sepasukan,” katanya.














