NAIROBI – Seramai 11 orang terbunuh selepas pesawat ringan yang mereka naiki terhempas di lereng sebuah bukit di Kenya, lapor agensi berita United Press International.
Pesawat jenis Cessna 208B Grand Caravan itu terhempas sekitar pukul 5.30 pagi (waktu tempatan) semasa dalam perjalanan ke Kichwa Tembo berhampiran Rizab Negara Maasai Mara dari Pantai Diani semalam.
Penerbangan itu membawa lapan warga Hungary, dua rakyat Jerman dan seorang juruterbang warga Kenya.
“Pesawat itu terhempas di lereng bukit di daerah Kwale, kira-kira 40 kilometer dari Pantai Diani.
“Agensi kerajaan sudah tiba di lokasi nahas untuk mengenal pasti punca kejadian. Malangnya, tiada seorang pun yang terselamat,” kata Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Kenya (KCAA) dalam satu kenyataan.
Juruterbang gagal berkomunikasi dengan pengawal trafik udara sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Diani, menyebabkan penerbangan itu hilang daripada radar selama 30 minit sebelum lokasi nahas diketahui, demikian menurut pegawai Mombasa Air Safari.
Beberapa saksi memberitahu, mereka mendengar bunyi dentuman kuat sebelum menemui serpihan dan mayat di lokasi nahas.
“Cuaca tidak begitu baik pada masa ini. Sejak awal pagi, hujan turun dan kawasan ini sangat berkabus,” kata Pesuruhjaya Daerah Kwale, Stephen Orinde.
Siasatan masih dijalankan. – AGENSI














