PETALING JAYA – Pengarah Orkestra Tradisional Malaysia, Mohd Yazid Zakaria, yang mengetuai persembahan sewaktu Majlis Makan Malam Gala ASEAN, baru-baru ini, dilaporkan meninggal dunia tengah hari tadi.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam hantaran di aplikasi X hari ini.
Beliau berkata, pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar buat dunia seni tempatan.”Allahyarham bukan sekadar seorang konduktor berbakat, tetapi insan seni berjiwa luhur yang menjadikan muzik sebagai wahana menyatukan hati dan memperindah jiwa bangsa.
“Terima kasih atas segala sumbangan dan bakti Allahyarham dalam mengangkat martabat muzik tradisional negara,” katanya.
Tambah Anwar, dedikasi Allahyarham akan terus dikenang dan menjadi sumber inspirasi buat generasi mendatang.
Lebih menyayat hati, Anwar memaklumkan anakanda Allahyarham bakal melangsungkan perkahwinan pada Sabtu ini.
“Semoga keluarga Allahyarham dikurniakan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi ujian yang berat ini.
“Moga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya. – KOSMO! ONLINE














