fbpx
Amir Hamzah (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Ustaz Ahmad Fauwaz Ali @ Fadzil di Bangi.

PEH25 terus perkukuh profesion eksekutif halal negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BANGI – Seramai 300 pemain industri halal dari seluruh negara berhimpun di Bangi Avenue Convention Centre (BACC) bagi menghadiri Persidangan Kebangsaan Eksekutif Halal 2025 (PEH25), platform utama yang menghimpunkan pakar, pembuat dasar dan eksekutif halal bagi memperkukuh ekosistem halal Malaysia.

Persidangan selama dua hari yang bermula pada 28 Oktober itu menampilkan perbincangan mendalam berkaitan pensijilan halal, inovasi teknologi, piawaian antarabangsa, tadbir urus, serta hala tuju masa depan industri halal negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Kolej UNITI Port Dickson, Amir Hamzah Md Isa, berkata PEH25 merupakan kesinambungan kepada siri kejayaan terdahulu iaitu PEH22, PEH23 dan PEH24 yang berjaya mengangkat wacana halal ke peringkat nasional dan antarabangsa.

“Persidangan ini menjadi wadah eksklusif untuk kira-kira 300 eksekutif halal dan pengamal industri dari seluruh Malaysia bertemu, bertukar pandangan dan menyelaras pemahaman terhadap dasar serta piawaian halal terkini.

“Ia bukan sekadar acara ilmiah, tetapi satu pergerakan intelektual yang memartabatkan profesion eksekutif halal sebagai tunjang utama dalam memastikan integriti halal di seluruh rantaian bekalan produk dan perkhidmatan,” katanya ketika ditemui selepas sesi plenari pertama hari ini.

Amir Hamzah, tengah (belakang) bergambar bersama wakil syarikat penaja dan rakan strategik Persidangan Kebangsaan Eksekutif Halal di Bangi.

Menurut Amir Hamzah, PEH25 menampilkan 20 ahli panel daripada pelbagai bidang termasuk tokoh syariah, pelaksana dasar, pakar teknikal dan pentadbir industri yang berkongsi kepakaran dalam sesi-sesi berbeza.

Antara yang mencuri perhatian ialah Mufti Wilayah Persekutuan, Ustaz Ahmad Fauwaz Ali @ Fadzil yang membicarakan aspek syariah berkaitan bahan mentah dan pemprosesan halal, serta Pensyarah Albukhary International University, Abu Bakar Ngah, yang menyentuh tentang inovasi teknologi dalam pengurusan halal moden.

Amir Hamzah turut menegaskan komitmen Kolej UNITI Port Dickson dalam memperluas pendidikan halal melalui inisiatif Halal Edutourism, Mobiliti dan Mikro-Crendentials, di bawah seliaan UNITI Halal Centre (UHAC) dan selaras dengan Pelan Induk #UNITI2030.

“Program Halal Edutourism yang kami terajui menggabungkan pendidikan, latihan dan sosialisasi halal sebagai strategi memperkukuh Malaysia sebagai pusat kecemerlangan halal dunia. Kami telah memperkenalkan inisiatif ini di peringkat antarabangsa, termasuk melalui Malaysia Fair di Tokyo, World Expo di Osaka dan Seoul baru-baru ini,” katanya.

Beliau menambah bahawa program ini membuka peluang kepada pelajar dan industri luar negara untuk mengenali sistem pensijilan halal Malaysia dengan lebih mendalam melalui lawatan industri, sesi klinikal halal, penempatan latihan dan kolaborasi akademik antarabangsa.

Menurut Amir Hamzah lagi, potensi industri halal kini amat besar dan mampu menjadi pemacu ekonomi global dengan nilai dagangan dijangka melonjak kepada AS$4.96 trilion (RM20.84 trilion) menjelang 2030, berbanding sekitar AS$2 trilion (RM8.4 trilion) ketika ini.

“Perkembangan ini membuktikan bahawa keperluan terhadap bakat halal semakin mendesak. Kita bukan sahaja perlu melahirkan tenaga kerja yang kompeten, tetapi juga berintegriti dan mempunyai daya tahan tinggi dalam menghadapi cabaran industri,” katanya.

Beliau turut menyeru agar eksekutif halal di seluruh negara melihat diri mereka sebagai pemimpin yang memikul amanah besar dalam memastikan keutuhan industri halal.

“Ramai tidak menyedari kerumitan proses mengurus dan memantau produk halal. Ia bukan sekadar pematuhan teknikal, tetapi tanggungjawab syariah yang membawa nilai spiritual dan etika yang mendalam.

“Sebagai eksekutif halal, kita sebenarnya sudah menjadi pemimpin dalam dunia halal memainkan peranan penting dalam membina keyakinan pengguna dan menjamin keberkatan dalam ekonomi,” katanya.

Persidangan PEH25 yang bertemakan Empowering Halal Excellence, Shaping Global Futures ini dijangka menghasilkan resolusi penting bagi memperkukuh keupayaan Malaysia sebagai peneraju global dalam industri halal serta melahirkan eksekutif halal berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI