JAKARTA – Sebuah video tular di media sosial Indonesia memaparkan aksi berani seorang wanita menggagalkan cubaan mencuri motosikal dengan menendang pencuri tersebut, lapor laman berita Detik hari ini.
Kejadian berlaku di Bogor, wilayah Jawa Barat.
Dalam video yang dimuat naik di laman sosial, salah seorang suspek dilihat cuba mencuri motosikal yang diparkir di tepi jalan sambil disaksikan oleh rakan subahatnya yang menunggang motosikal lain.
Suspek kemudian dilihat membuka kunci motosikal itu, namun ketika cuba melarikan diri, seorang wanita tiba-tiba berlari keluar ke arah mereka dari dalam kedai.
Wanita tersebut kemudian menolak dan menendang motosikal tersebut, menyebabkan pencuri terjatuh di atas jalan.
Kedua-dua pelaku kemudian melarikan diri sambil dikejar oleh wanita tersebut dan beberapa individu lain.
Ketua Polis Daerah Gunung Sindur, Pesuruhjaya Budi Santoso berkata, kedua-dua suspek sedang diburu, manakala motosikal curi itu ditinggalkan di tepi jalan. – AGENSI














