MADRID – Juara dunia MotoGP 2024, Jorge Martin terlepas saingan Grand Prix (GP) Portugal di Litar Antarabangsa Algarve minggu depan apabila masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan bahu dialami di Motegi, Jepun.
Pelumba Aprilia itu patah bahu selepas kemalangan di selekoh pertama perlumbaan sprint GP Jepun yang turut melibatkan rakan sepasukannya, Marco Bezzecchi menjalani pembedahan.
Meskipun proses pemulihan berjalan lancar, Aprilia mengesahkan Martin masih belum cergas untuk kembali menunggang dan akan terus berehat bagi memastikan kecederaan sembuh sepenuhnya.
“Proses pemulihan berjalan lancar dan Martin sudah mula berlatih semula, tetapi dia belum bersedia untuk kembali ke trek. Keputusan ini dibuat supaya dia tidak berisiko menambah kecederaan sedia ada,” kata Aprilia dalam kenyataan rasmi.
Martin sebelum ini hanya sempat beraksi dalam enam daripada 20 pusingan musim ini, dengan keputusan terbaik di tempat keempat pada GP Hungary iaitu musim yang dianggap paling mencabar sepanjang kariernya.
Musim ini turut menyaksikan Martin berdepan empat insiden besar termasuk kemalangan pramusim di Sepang dan insiden latihan yang menyebabkan dia terlepas tiga pusingan awal, selain pertikaian kontrak bersama Aprilia pertengahan musim lalu.
Aprilia juga belum mengesahkan sama ada Lorenzo Savadori akan sekali lagi menggantikan tempatnya di Portimao, Portugal selepas menjadi pelumba sementara dalam beberapa pusingan sebelum ini.
“Keutamaan kami ialah kesihatan Martin. Kami mahu dia kembali apabila benar-benar bersedia. Musim masih panjang dan kami mahu dia cergas sepenuhnya,” ujar jurucakap pasukan itu.
Selain Martin, seorang lagi juara dunia, Marc Marquez turut disahkan menamatkan musim lebih awal selepas mengalami kecederaan bahu dalam insiden di GP Indonesia. – AGENSI














